KOTA BHARU: Tindakan segelintir golongan ‘mat rempit’ melakukan aksi berbahaya di hadapan terminal baharu Lapangan Terbang Kota Bharu disifatkan sebagai bukan sahaja memalukan, malah mengancam keselamatan awam serta menjejaskan imej negeri.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata kerajaan Persekutuan membelanjakan hampir RM450 juta bagi menaik taraf lapangan terbang berkenaan demi meningkatkan perkhidmatan udara ke Kelantan.
Menurutnya, pelaburan besar itu bertujuan merancakkan pembangunan sosioekonomi rakyat serta menarik lebih ramai pelancong ke negeri berkenaan.
Namun, insiden aksi merempit di kawasan itu dilihat bertentangan dengan usaha kerajaan.
“Perbuatan ini bukan sahaja membahayakan nyawa pengguna lapangan terbang, malah boleh dianggap sebagai satu bentuk sabotaj terhadap keselamatan dan ekonomi negeri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau tmengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di kawasan berkenaan.
‘Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan aktiviti merempit, termasuk penyitaan motosikal serta-merta,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut meminta pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memperketat kawalan laluan masuk dan keluar ke terminal bagi membendung gejala tersebut daripada terus berleluasa.
“Langkah bersepadu ini diharap dapat memastikan keselamatan awam terjamin serta menjaga imej Lapangan Terbang Kota Bharu sebagai pintu masuk utama ke negeri Kelantan,” ujarnya.
Baca juga:








