Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Dunia masih lagi menyaksikan gejolak krisis di Asia Barat, melihat kepada itu Kerajaan Madani sedang giat meyakinkan negara yang bertelagah itu untuk menghentikan operasi ketenteraan mereka.
Perkara itu dilontarkan oleh, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu ucapan pada Selasa yang turut berkata, Komuniti ‘Track Two’ turut bertanggungjawab penting dalam usaha menamatkan konflik ketenteraan itu.
“Kita juga harus mengakui bahawa tanggungjawab untuk memajukan keamanan tidak terletak kepada kerajaan semata-mata.
“Komuniti Track Two turut memikul tanggungjawab penting dalam menyediakan ruang untuk perbincangan yang jujur dan dialog sukar yang tidak semestinya dapat dilakukan di peringkat rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara yang dianjurkan bersama Institute of Strategic and International Studies Malaysia dan SETA Foundation di Hotel Grand Hayyat. Kuala Lumpur pada Selasa.
Untuk rekod, ‘Track Two’ adalah perbincangan atau usaha diplomasi di luar saluran rasmi kerajaan melibatkan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, pakar dasar (think tank), bekas pegawai kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta tokoh masyarakat.
Perdana Menteri berkata, dunia kini dibentuk oleh negara yang mempunyai kekuatan ketenteraan dan ekonomi.
Namun katanya, kelangsungan dan kemakmuran sesebuah negara bergantung kepada tiga asas utama iaitu kedaulatan, keselamatan sumber dan keupayaan mempertahankan negara secara kendiri.
“Dan jika saya boleh tambah, satu lagi asas penting iaitu tahap saling kebergantungan dua hala dan pelbagai hala yang kukuh.
“Hari ini, kita berdepan dengan hakisan kedaulatan.
“Tindakan ketenteraan yang tidak terkawal, tidak berasas dan tanpa sekatan sedang meruntuhkan prinsip yang sekian lama menjadi asas kestabilan antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar Ibrahim menggesa kepada seluruh rakyat untuk tidak berputus asa mahupun bertindak secara emosi dalam menghadapi ketidakadilan yang serius itu.
Sebalik itu katanya, Malaysia perlu kekal tenang dan berpegang teguh kepada usaha diplomasi demi keamanan dan kestabilan.
Pada masa yang sama, beliau turut memuji pendekatan Turkiye seperti yang dibawa oleh Presiden Tayyip Reccep Erdogan wajar dijadikan contoh.
“Sebagai pihak yang tidak terlibat secara langsung dalam konflik, Türkiye memilih untuk berunding dan bukan meningkatkan ketegangan.
“Peranan aktif Ankara dalam pertemuan melibatkan Riyadh, Islamabad dan Kaherah menunjukkan peranannya sebagai kuasa penstabil di rantau tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, Malaysia kekal berdiri teguh bersama Turkiye dalam menggesa pendekatan berhemah, di samping menghargai usaha Pakistan, Oman, Mesir dan rakan-rakan lain dalam memudah cara dialog.
“Namun, diplomasi tidak akan membawa hasil jika diselubungi kepura-puraan.
“Semua pihak mesti benar-benar ikhlas dalam mencari penyelesaian yang berkekalan. Dunia telah menyaksikan terlalu banyak gencatan senjata yang hanya bersifat sementara.
“Apa yang diperlukan kini ialah penyelesaian sebenar, dengan komitmen tulen untuk meredakan ketegangan berasaskan saling menghormati dan undang-undang antarabangsa,” ujar beliau.
Baca juga:








