DAP Tekankan Krisis Tenaga Global, Reformasi Perlembagaan Dan Penempatan Pelajar Cemerlang

PETALING JAYA: Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dalam mesyuarat bulanannya pada Isnin menekankan kebimbangan terhadap kesan konflik di Asia Barat yang dijangka menjejaskan bekalan minyak negara selepas Mei.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, dalam kenyataan media berkata, mesyuarat telah membincangkan impak krisis tenaga global serta isu-isu semasa lain dan beberapa ketetapan penting telah dicapai.

Menurut beliau, antara keputusan utama ialah arahan kepada semua pemimpin dan wakil rakyat DAP untuk memberi penerangan di peringkat akar umbi mengenai keseriusan krisis tenaga.

“Mengurangkan permintaan terhadap minyak adalah tanggungjawab bersama.

“Justeru, masyarakat perlu mengambil langkah menjimatkan penggunaan tenaga dan kenderaan secara berhemah,” tegas kenyataan itu.

DAP turut menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan mengurus krisis global itu demi kelangsungan ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

Selain isu tenaga, beliau berkata, mesyuarat juga menekankan kepentingan reformasi institusi.

Wakil parti dalam Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Pengasingan Kuasa Peguam Negara diarahkan memastikan penambahbaikan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat diselesaikan segera dan dibentangkan di Parlimen pada sidang Jun.

Dalam aspek pendidikan, DAP menyeru kerajaan meneruskan dasar penempatan automatik bagi semua pelajar cemerlang SPM 2025 yang memperoleh 10A ke atas ke program matrikulasi.

Pelajar lain yang cemerlang turut diminta diberi pertimbangan sewajarnya mengikut kapasiti sedia ada.

Kenyataan itu juga menyokong tindakan tegas kerajaan terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol yang menyebabkan kematian.

“Tindakan keras tanpa pilih kasih perlu diambil untuk memberi mesej yang kuat kepada semua pemandu agar sentiasa bertanggungjawab demi keselamatan bersama di jalan raya,” menurut kenyataan tersebut.

Anda Mungkin Berminat