WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi meningkatkan tekanan terhadap Iran dengan memberi amaran bahawa negara Teluk itu bakal berdepan serangan berskala besar sekiranya gagal mencapai persetujuan sebelum tarikh akhir pembukaan semula Selat Hormuz.
Menurut laporan BBC, Trump berkata, Selat Hormuz adalah laluan strategik yang menjadi nadi utama perdagangan tenaga dunia yang mesti dibuka semula segera.
Beliau menetapkan tarikh akhir pada pukul 8 malam waktu Washington, Selasa.
Dalam ucapan di Rumah Putih, Trump menyatakan keyakinan bahawa sebahagian kepimpinan Iran masih bersikap rasional dan berunding dengan niat baik.
Namun, beliau mengakui hasil rundingan masih belum dapat dipastikan.
Sementara itu, Tehran kekal dengan pendirian tegas apabila menolak cadangan gencatan senjata sementara.
Iran menuntut penamatan konflik secara menyeluruh serta pemansuhan sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas negara itu.
Seorang pegawai serantau yang mengikuti rapat perkembangan rundingan berkata, sebarang kemajuan bermakna sukar dicapai tanpa pelaksanaan gencatan senjata terlebih dahulu.
Tambah sumber itu, usaha diplomatik turut berdepan cabaran besar akibat gangguan komunikasi, sekali gus menyukarkan penyampaian mesej antara pihak-pihak yang terlibat.








