Harga Minyak Mentah Turun Tetapi Harga Pam Kekal, Ini Penjelasan Kerajaan

PETALING JAYA: Orang ramai tertanya-tanya mengapa harga minyak di pam tidak menurun walaupun harga minyak mentah global dilaporkan jatuh.

Kementerian Kewangan (MOF) tampil menjelaskan mekanisme sebenar penentuan harga runcit bahan api di Malaysia.

Dalam satu hantaran di Facebook yang dikongsi kepada umum, kementerian berkata, harga di pam tidak ditentukan berdasarkan harga pasaran harian, sebaliknya mengambil kira purata harga minggu sebelumnya.

“Sebenarnya, harga di pam tidak ditentukan mengikut harga pasaran hari ini kerana harga di pam ditentukan berdasarkan purata harga minggu sebelumnya,” katanya.

Selain itu katanya, bekalan semasa yang digunakan di stesen minyak telah dibeli pada harga lebih tinggi, sekali gus masih mempengaruhi harga jualan kepada pengguna.

MOF turut menjelaskan bahawa harga minyak global melonjak mendadak selama lima minggu berturut-turut, menyebabkan kos logistik dan insurans meningkat.

“Harga minyak global melonjak naik mendadak selama lima minggu menyebabkan kos meningkat termasuk insurans dan logistik,” katanya.

Walaupun begitu, kerajaan menegaskan komitmen untuk mengekalkan harga minyak bersubsidi demi kesejahteraan rakyat serta mengawal harga barangan asas.

Untuk info, Malaysia menggunakan sistem harga runcit mingguan yang mengambil kira purata harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang serta kos logistik.

Justeru, sebarang penurunan harga global hanya akan dirasai selepas beberapa minggu, bergantung kepada purata dan bekalan terdahulu.

Penjelasan ini diharap dapat meredakan kekeliruan orang ramai.

Walaupun harga minyak mentah dunia turun, faktor purata mingguan, bekalan lama serta kos logistik masih mengekalkan harga pam buat masa ini.

Subsidi kerajaan pula menjadi benteng utama dalam memastikan rakyat tidak terbeban dengan turun naik pasaran global.

Anda Mungkin Berminat