TELOK PANGLIMA GARANG: Suasana cemas tercetus di sebuah restoran makanan laut di Telok Mengkuang, Kuala Langat apabila seorang lelaki bertindak mengamuk sambil membawa pisau pemotong daging, pada Rabu petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu menyaksikan suspek berlari mengejar seorang anggota polis yang berada di lokasi sambil bertindak agresif dengan senjata tajam.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, pihak polis mendapati seorang lelaki warga tempatan bertindak secara agresif dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging dan sebatang rotan,” katanya.
Menurut beliau, suspek turut memecahkan lampu beacon pada kenderaan peronda polis, selain merosakkan pelbagai barangan di restoran berkenaan serta tiga kenderaan milik orang awam.
“Selain itu, suspek turut bertindak ganas dengan melibaskan senjata ke arah anggota polis serta kenderaan peronda, sekali gus mengancam keselamatan pihak berkuasa dan orang awam,” katanya.
Bagaimanapun, tindakan pantas pihak polis berjaya menahan suspek sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan lanjut.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan (menyerang penjawat awam), Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat), serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.








