133 Warga Asing Ditahan Dalam Ops Mega Di Balakong, Shah Alam

BALAKONG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 133 warga asing dalam satu operasi bersepadu di dua premis perindustrian di Balakong dan Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Ops Mega yang bermula pada pukul 11.00 pagi itu melibatkan seramai 145 pegawai pelbagai pangkat dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Alam Sekitar serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan, pasukan operasi digerakkan secara serentak ke lokasi dan memeriksa seramai 162 individu.

Hasil pemeriksaan mendapati 133 warga asing berusia antara 20 hingga 45 tahun ditahan, terdiri daripada warganegara Bangladesh, Pakistan, Myanmar, Nepal, Indonesia, India, Vietnam dan China.

Antara kesalahan yang dilakukan termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, memiliki kad pengenalan yang tidak diiktiraf serta pelbagai kesalahan lain di bawah peruntukan undang-undang imigresen negara.

Dalam operasi sama, Jabatan Kastam turut merampas rokok dan minuman keras tidak bercukai.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, dalam kenyataannya berkata, pihaknya serius menangani isu majikan yang menggaji pekerja tanpa dokumen sah.

“Pihak Jabatan telah mengeluarkan kompaun mencecah RM42.6 juta terhadap 2,286 majikan yang didapati menggaji warga asing tanpa dokumen sah bagi tempoh 2025 hingga Februari tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi mengesan, memeriksa, menangkap, mendakwa serta menghantar pulang warga asing yang melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

JIM turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kerana tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan PATI disaran menyalurkan maklumat lengkap terus kepada JIM melalui saluran rasmi.

Anda Mungkin Berminat