Bekalan terganggu sementara, Shell mohon maaf kepada pengguna

KUALA LUMPUR: Shell Malaysia Trading Sdn Bhd memberi jaminan akan mengutamakan usaha memastikan kesinambungan bekalan bahan api di seluruh rangkaiannya, selaras dengan pengumuman terkini kerajaan.

Menurut syarikat itu, langkah turut diambil bagi memastikan bekalan kekal stabil dan konsisten di semua stesen minyak kendaliannya di seluruh negara.

“Permintaan mungkin meningkat secara mendadak dalam tempoh tertentu, yang boleh menyebabkan kekurangan sementara di beberapa stesen.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan dan sedang giat memulihkan bekalan di stesen terjejas secepat mungkin,” menurut kenyataan tersebut, seperti dipetik berita tempatan pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, memaklumkan bahawa Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sedang meneliti pelbagai langkah bagi memperkukuh ketahanan bekalan bahan api negara.

Antara usaha yang dipertimbangkan termasuk mempelbagaikan sumber input bahan api, mempererat kerjasama dengan rakan dagang utama serta memastikan keterjaminan bekalan dalam menghadapi krisis tenaga global.

Kerajaan, katanya, memberi tumpuan kepada pendekatan menyeluruh bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil dalam situasi global yang mencabar.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat