KUALA LUMPUR: Penasihat Penasihat DAP, Lim Guan Eng, mencadangkan lima langkah kewangan jangka pendek bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat krisis ekonomi global susulan konflik di Asia Barat.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata cadangan berkenaan telah dikemukakan kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Majlis Presiden gabungan itu pada Rabu lalu.
Antara cadangan utama ialah pemberian pinjaman tanpa faedah dan tanpa cagaran sebanyak RM50,000 kepada 100,000 PKS, melibatkan peruntukan RM5 bilion.

Selain itu, beliau turut mencadangkan moratorium bayaran faedah bagi pinjaman sedia ada sehingga hujung tahun ini.
Lim turut menggesa kerajaan menangguhkan sebarang cukai tambahan serta kos pematuhan dan peraturan, termasuk penangguhan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pelaksanaan e-invois serta caruman 2 peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing.
“Kerajaan kekal sebagai harapan utama untuk mengurangkan beban kos PKS dan memastikan mereka tidak terpaksa menutup operasi menjelang akhir tahun,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau juga mencadangkan supaya pelabur diwajibkan mendapatkan sekurang-kurangnya 50 peratus bekalan daripada pengeluar tempatan, kecuali jika barangan tidak tersedia dalam negara, selain melonggarkan birokrasi dan penguatkuasaan dalam tempoh krisis ini.
Menurutnya, selain berdepan kenaikan harga bahan mentah, gangguan rantaian bekalan serta kos logistik yang meningkat, PKS kini turut berdepan masalah aliran tunai apabila pembekal enggan menawarkan kemudahan kredit.
“Tanpa bahan mentah, PKS tidak dapat menghasilkan produk, sekali gus memburukkan kedudukan kewangan perniagaan yang sudah tertekan,” katanya.
Sebanyak 1.1 juta PKS dilaporkan berdepan risiko terjejas berikutan kenaikan harga minyak global susulan konflik berkenaan.
Baca juga:








