KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneliti setiap perbelanjaan dengan cermat dalam menyalurkan bantuan kepada pesawah susulan tekanan kewangan akibat kenaikan mendadak subsidi bahan api, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, lonjakan harga tenaga global telah meningkatkan kos operasi sektor pertanian secara menyeluruh, sekali gus memberi kesan bukan sahaja kepada pesawah tetapi juga kewangan kerajaan.
“Dalam tempoh sebulan sahaja, subsidi bahan api melonjak daripada sekitar RM700 juta kepada RM6 bilion, naik sembilan kali ganda.
“Keadaan ini memaksa kerajaan membuat pertimbangan menyeluruh kerana bantuan tidak hanya tertumpu kepada pesawah, sebaliknya melibatkan keperluan lebih 30 juta rakyat Malaysia.
“Kerajaan bukan hanya perlu melihat nasib 200,000 pesawah, tetapi juga menjaga kebajikan seluruh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Beliau menjelaskan, semua kementerian kini sedang menilai kesan krisis tenaga global terhadap kumpulan sasar masing-masing, dengan kebanyakannya memerlukan intervensi serta tambahan peruntukan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan sedang menyusun semula perbelanjaan dan mencari penjimatan bagi memastikan dana dapat disalurkan kepada keperluan yang lebih mendesak.
“Jika ada yang sedikit lewat dibantu, bukan bermakna tidak dipedulikan, tetapi kerana kerajaan sedang mencari jalan menambah sumber,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan bekalan makanan asas negara kekal stabil, termasuk beras, ayam, telur dan sayur-sayuran.
Beliau berkata, antara langkah awal yang telah diluluskan ialah penambahan stok penimbal beras dengan peruntukan melebihi RM100 juta.
Baca juga:








