KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan insentif berjumlah RM3.5 juta bagi membantu peniaga buah kelapa sawit memperoleh pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) sebagai usaha memperkukuh rantaian bekalan industri sawit negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata inisiatif itu merupakan langkah proaktif kerajaan dalam membantu pemain industri memenuhi keperluan pematuhan semasa.
“Inisiatif ini bertujuan membantu peniaga buah kelapa sawit memenuhi keperluan pensijilan, sekali gus memperkukuh daya tahan rantaian bekalan sawit negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, lebih 3,000 peniaga buah kelapa sawit di seluruh negara dijangka menerima manfaat daripada insentif berkenaan, tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang ditetapkan.
Permohonan bagi insentif itu boleh dikemukakan mulai 15 April 2026 melalui sistem e-MSPO yang dikendalikan oleh Malaysian Sustainable Palm Oil.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu juga selaras dengan usaha memperkukuh pelaksanaan menyeluruh MSPO 2.0 serta menyokong agenda negara dalam memastikan industri sawit terus berkembang secara mampan dan berdaya tahan.
“Kerajaan menjangkakan langkah ini akan memperluas liputan pensijilan dalam kalangan peniaga buah kelapa sawit dan mengukuhkan keseluruhan ekosistem rantaian bekalan,” katanya.
Dalam pada itu, Noraini menegaskan setiap langkah yang diambil kerajaan ketika ini bertujuan memberi sokongan berkesan kepada pemain industri, khususnya yang terlibat secara langsung dalam rantaian bekalan sawit.
Katanya, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat serta memperkukuh keyakinan terhadap sektor sawit negara di peringkat domestik dan antarabangsa.
Baca juga:







