KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) berdepan cabaran besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) apabila kekuatan sokongan Melayu sahaja dilihat masih belum mencukupi untuk membentuk kerajaan secara mutlak, kata Dr Marzuki Mohamad.
Beliau yang juga bekas ketua setiausaha sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata analisis keputusan PRU15 menunjukkan PN mendominasi kawasan Parlimen majoriti besar Melayu dengan memenangi 67 daripada 83 kerusi, mengatasi Barisan Nasional (BN) yang meraih 12 kerusi, Pakatan Harapan (PH) tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.
“Sekiranya gelombang sokongan Melayu terus meningkat, PN berpotensi menambah kemenangan di kawasan kategori ini.
“Namun, untuk menguasai kesemua 83 kerusi dilihat sukar memandangkan masih terdapat kubu kuat UMNO di beberapa kawasan seperti Kota Tinggi, Semberong, Pontian, Tenggara, Rembau dan Kuala Pilah,” katanya menerusi Facebook pada Sabtu.

Ujarnya, walaupun PN berjaya menguasai sepenuhnya kerusi majoriti besar Melayu, jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
Tambahnya lagi, tumpuan sebenar PN kini beralih kepada 35 kerusi Parlimen majoriti kecil Melayu (51 hingga 65 peratus pengundi Melayu), yang kebanyakannya terletak di negeri-negeri Pantai Barat.
“Dalam PRU15, PH mendominasi kawasan ini dengan 22 kerusi, diikuti BN sembilan kerusi dan PN hanya empat kerusi.
“Dengan anggaran sokongan Melayu sekitar 60 peratus di Pantai Barat, PN hanya mampu memperoleh sekitar 30 hingga 40 peratus undi keseluruhan. Dalam pertandingan dua penjuru menentang gabungan PH dan BN, keadaan ini dijangka memihak kepada lawan.
“Malah, untuk mencapai kemenangan maksimum sekitar 10 kerusi dalam kategori tersebut, PN perlu meningkatkan sokongan Melayu sehingga 80 peratus, satu sasaran yang dianggap sukar dicapai,” katanya lagi.

Tambahnya, hal ini kerana PH masih mempunyai sokongan Melayu tegar sekitar 15 hingga 20 peratus di kawasan berkenaan, manakala UMNO pula mengekalkan kira-kira 20 hingga 25 peratus sokongan setia.
Pemerhati politik berpendapat, tanpa keupayaan menarik sokongan pengundi bukan Melayu serta menembusi kelompok penyokong tegar parti lawan, peluang PN untuk menguasai kerusi-kerusi strategik ini kekal terhad.
“Kesimpulannya, naratif penyatuan ummah dan sentimen anti-DAP mungkin mampu meningkatkan sokongan Melayu kepada PN, namun ia masih belum mencukupi untuk menjamin kemenangan besar dalam PRU16.
“Situasi ini sekali gus meletakkan PN dalam dilema, sama ada mampu memperluas sokongan merentas kaum atau berdepan keputusan pilihan raya yang kekal status quo tanpa mana-mana gabungan memperoleh majoriti mutlak,” katanya.
Baca juga:








