PRU16 makin hampir, Tengku Zafrul seru PKR lebih turun padang

KUANTAN: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa parti itu kini berada dalam fasa kritikal menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau berkata, sebagai parti yang kini menerajui kerajaan, pendekatan PKR perlu berubah dengan memberi fokus kepada usaha turun padang, mendekati rakyat serta membina kepercayaan dari peringkat akar umbi.

“PKR hari ini bukan lagi pembangkang. Kita kerajaan. Jadi cara kita bekerja, berkempen dan berkomunikasi mesti berubah,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang-Cabang PKR Pahang, seperti dipetik di Facebooknya pada Ahad.

Menurut beliau, kaedah berkempen tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada ceramah dan media sosial semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh dengan interaksi secara langsung bersama rakyat.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan agar kekuatan parti di media sosial tidak diabaikan, termasuk dalam usaha menjawab isu semasa, membentuk naratif serta mempertahankan parti daripada serangan pihak lawan.

Tambahnya, perpaduan dalaman parti adalah kunci utama dalam memastikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan PKR mentadbir negara.

“Kalau kita sendiri tidak kuat sebagai satu pasukan, rakyat tidak akan percaya kita mampu mengurus negara,” katanya.

Mengulas perkembangan ekonomi, Tengku Zafrul yang juga Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, berkata Malaysia kini berada di kedudukan pertama di Asia Tenggara dalam kalangan ekonomi sedang membangun berdasarkan penilaian Global Opportunity Index 2026 oleh Milken Institute.

Menurutnya, Malaysia turut berada di tangga ke-23 dunia, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap negara ini.

“Ini isyarat jelas bahawa Malaysia semakin diyakini pelabur dunia,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa masa semakin suntuk menjelang PRU16 dan seluruh jentera parti perlu menggandakan usaha bagi memastikan sokongan rakyat terus kukuh.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat