Malaysia Teguh Bersama Dunia Dalam Misi Global Sumud Flotilla 2.0

PETALING JAYA: Malaysia sekali lagi menzahirkan komitmen teguh terhadap perjuangan Palestin apabila menjadi satu-satunya negara yang menghantar perwakilan rasmi dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0.

Persiapan kapal-kapal pasukan Malaysia di Port Vell, Barcelona pada pagi Ahad disaksikan sendiri oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang turut meninjau kelengkapan sebelum pelayaran bermula.

“Apa yang cukup membanggakan, Malaysia hadir bukan sekadar melalui NGO tetapi sebagai satu-satunya negara yang menghantar perwakilan secara rasmi yang disokong secara menyeluruh.

“Ini membuktikan kesungguhan dan komitmen Malaysia dalam menuntut pembebasan Palestin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut berkongsi pengalaman bertemu sahabat dari Indonesia yang bersama-sama menyatakan dukungan terhadap perjuangan Palestin.

Kehadiran peserta dari seluruh dunia, katanya, menjadi bukti bahawa suara kemanusiaan masih hidup dan Gaza tidak pernah dibiarkan bersendirian.

Misi flotilla ini menghimpunkan aktivis, NGO dan wakil negara dari pelbagai benua dengan tujuan membawa mesej solidariti serta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.

Malaysia tampil dengan sokongan penuh kerajaan negeri dan persekutuan, menjadikan penyertaan ini lebih bermakna di mata dunia.

“Insya-Allah, teruskan berdoa untuk kejayaan dan keselamatan seluruh yang terlibat dengan misi ini,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat