Oleh: Tyah Helmi
MARANG: Prinsip pendemokrasian akses pendidikan berkualiti akan terus menjadi asas utama dalam sistem pendidikan negara di bawah Kerajaan MADANI, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapannya di Majlis Pecah Tanah Kolej Matrikulasi Bukit Payong, Marang, Terengganu, beliau menekankan bahawa setiap anak tanpa mengira latar belakang termasuk daripada keluarga nelayan, petani dan golongan berpendapatan rendah (B40) mesti diberi peluang pendidikan yang adil dan bermutu.
“Tapi bila kita sebut pendemokrasian pendidikan, ia bermakna ruang dan peluang itu harus dilebarkan.
“Apalagi sekarang demokrasi terhadap akses pendidikan negara itu penting. Maknanya setiap anak nelayan, petani, pekebun atau B40 itu mesti diberi kesempatan dan ruang mendapat pendidikan yang baik bukan sahaja akses tetapi juga pendidikan yang bermutu,” katanya.
Anwar turut berkata, tumpuan hanya kepada sekolah berprestasi tinggi atau elit berisiko melebarkan jurang sosial dan meminggirkan sebahagian besar pelajar.
“Kerana kelemahannya itu ialah ruang untuk anak-anak dari pelbagai latar belakang termasuk miskin B40, tidak akan dapat kemudahan yang sebaiknya kalau kerajaan menumpukan hanya bagi sekolah sekolah elit,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan pendidikan di negeri seperti Terengganu membuktikan kecemerlangan bukan hanya lahir daripada sekolah elit tetapi juga sekolah harian dan sekolah menengah agama.
Anwar turut mengakui kelemahan dasar pendidikan kerajaan terdahulu yang hanya memberi manfaat kepada kelompok kecil, sekali gus melebarkan jurang sosial.
Justeru, beliau menegaskan bahawa pendidikan kekal sebagai pencetus utama mobiliti sosial, membolehkan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah meningkatkan taraf hidup mereka.
“Itu yang disebut kaedah terbaik dalam meningkat mobiliti sosial.
“Naik kedudukan mereka daripada hanya melihat daripada sistem feudal yang lama.
“Ini bagi saya erti kemerdekaan memberi ruang yang lebih banyak kepada anak-anak kita,” katanya.








