Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyekat laluan perdagangan di Selat Hormuz disifatkan sebagai melampau, berbahaya dan tidak bertanggungjawab oleh Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata, isu itu bukan lagi soal keselamatan tetapi manifestasi ego kuasa besar yang gagal mencapai persetujuan dalam rundingan dengan Iran.
“Selat Hormuz bukan milik Amerika. Tetapi hari ini, ia dijadikan alat untuk mengugut dunia,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Menurut Mahfuz, sebanyak 20 peratus minyak dunia melalui Selat Hormuz, sekali gus menjadikan sekatan itu sebagai serangan terhadap ekonomi global.
“Ini bukan diplomasi. Ini ugutan,” ujarnya.
Beliau memberi amaran bahawa kesan sekatan tersebut akan menyebabkan harga minyak melambung, kos sara hidup meningkat dan negara membangun seperti Malaysia turut terhimpit.
“Ini bukan keputusan rakyat Amerika. Ini keputusan segelintir elit Amerika di Rumah Putih yang memperjudikan dunia.
“Elit Amerika buat keputusan di meja kuasa, rakyat dunia pula dipaksa bayar harganya,” tegasnya.
Mahfuz menyeru komuniti antarabangsa agar bangkit menolak sekatan itu secara terbuka, mendesak laluan perdagangan kekal bebas serta menentang politik ugutan yang melanggar prinsip antarabangsa.
“Dunia tidak boleh tunduk, dunia mesti bertindak,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Trump mengarahkan Tentera Laut AS melaksanakan sekatan di Selat Hormuz dan memintas kapal antarabangsa yang didakwa membayar ‘tol’ kepada Iran.
Arahan itu dibuat menerusi platform Truth Social beberapa jam selepas rundingan damai antara AS dan Iran berakhir tanpa persetujuan.








