Konflik Asia Barat: Selangor peruntuk RM131 juta Pakej Pengukuhan Daya Tahan

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai kira-kira RM131 juta sebagai langkah menangani kesan gangguan bekalan tenaga global susulan ketegangan di Asia Barat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pakej itu dirangka bagi memperkukuh ketahanan ekonomi negeri, khususnya dalam aspek kos sara hidup, keterjaminan makanan dan sokongan kepada rakyat yang terkesan.

Beliau berkata, walaupun konflik di rantau berkenaan beransur reda, kesan terhadap rantaian bekalan global dijangka berpanjangan.

“Sekiranya konflik ini reda sekalipun, pemulihan ekosistem bekalan tenaga dan komoditi industri dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun.

“Pakej akan mula dilaksanakan pada bulan Jun dengan beberapa inisiatif utama termasuk bantuan langsung kepada rakyat dan pengukuhan sistem sokongan ekonomi negeri.

Antara inisiatif Jelajah Ehsan Rahmah yang akan dilaksanakan sebulan sekali di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor dengan peruntukan RM5 juta bagi memastikan akses barangan keperluan asas pada harga berpatutan”. Katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kerajaan negeri turut memperkenalkan Gudang Makanan Selangor dengan peruntukan RM50 juta bagi meningkatkan stok penimbal makanan asas seperti beras dan sumber protein, selain memperkukuh kestabilan bekalan.

Selain itu, Baucar Kita Selangor diperkenalkan melibatkan 50,000 penerima dengan bantuan RM100 sebulan selama enam bulan, berjumlah RM30 juta, bagi pembelian barangan keperluan asas harian.

Kerajaan negeri menegaskan langkah ini adalah sebahagian usaha proaktif bagi memastikan rakyat tidak terkesan secara langsung oleh tekanan inflasi dan gangguan bekalan global.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat