Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Johor kini dinobatkan menjadi negeri yang mendominasi industri pertanian di Malaysia dengan pendapatan tertinggi iaitu sebanyak RM30.15 bilion.
Menerusi Laporan Banci Pertanian 2024 bagi menunjukkan Johor mendominasi sektor pertanian Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, negeri Johor merekodkan 106,003 pegangan pertanian dengan 102,423 pegangan pertanian individu yang meliputi 96.6 peratus daripada keseluruhan pegangan pertanian.
Manakala, pegangan pertanian yang diuruskan oleh pertubuhan adalah sebanyak 3,580 pertubuhan.
Kata DOSM, subsektor tanaman merupakan penyumbang pendapatan terbesar negeri itu daripada jumlah keseluruhan pendapatan iaitu RM22.15 bilion sebanyak 73.5 peratus.
Seterusnya, diikuti dengan subsektor ternakan dengan RM6.21 bilion (20.6 peratus), subsektor akuakultur RM1.11 bilion (3.7 peratus), subsektor perikanan tangkapan RM634.47 juta (2.1 peratus) serta subsektor perhutanan dan pembalakan RM43.94 juta (0.1 peratus).
Tiga daerah di Johor yang memberikan sumbangan pendapatan tertinggi sektor pertanian adalah Kluang (RM5.46 bilion), Kota Tinggi (RM4.51 bilion), dan Batu Pahat (RM4.01 bilion).
Di samping itu, negeri Johor juga merekodkan jumlah perbelanjaan sektor pertanian sebanyak RM10.54 bilion, yang merupakan yang kedua tertinggi di Malaysia.
Bagi subsektor tanaman merekodkan perbelanjaan tertinggi ialah, RM6.79 bilion (64.4 peratus) daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan pertanian.
Perbelanjaan subsektor ternakan adalah sebanyak RM3.08 bilion (29.2 peratus), subsektor akuakultur RM387.71 juta (3.7 peratus), subsektor perikanan tangkapan RM255.96 juta (2.4 peratus), dan subsektor perhutanan & pembalakan RM25.44 juta (0.2 peratus).
Tiga daerah dengan sumbangan perbelanjaan tertinggi sektor pertanian di Johor adalah Kluang (RM1.88 billion), Batu Pahat (RM1.87 billion), dan Kota Tinggi (RM1.38 billion).
Dari segi tenaga kerja, Johor terus mengukuhkan kedudukannya dengan mencatatkan seramai 210,575 orang yang terlibat secara langsung dalam sektor pertanian.
Jumlah guna tenaga bagi pegangan individu adalah sebanyak 137,823 orang, manakala untuk pegangan pertubuhan seramai 72,752 orang.
Daerah yang menyumbang terbesar kepada guna tenaga sektor pertanian di Johor adalah Kluang dengan 40,663 orang, diikuti Batu Pahat (30,026 orang), dan Muar (32,430 orang).
Baca juga:








