Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit meneruskan aliran pengukuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada awal dagangan Jumaat, didorong sentimen domestik yang semakin positif.

Pengukuhan itu turut disokong jangkaan pasaran terhadap pengumuman anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2026 yang dijadualkan diumumkan tengah hari ini, sekali gus berpotensi memberi sokongan tambahan kepada mata wang tempatan.

Pada jam 8 pagi, ringgit meningkat kepada 3.9505/9565 berbanding dolar AS, berbanding 3.9520/9560 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka kekal sekitar paras RM3.95 hari ini.

“Tumpuan kini terarah kepada anggaran awal KDNK suku pertama 2026 dengan unjuran median sekitar 5.5 peratus, berbanding 6.3 peratus pada suku keempat 2025. Data ini berpotensi menyokong ringgit,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Di peringkat global, beliau menjelaskan sentimen risiko turut dipengaruhi perkembangan rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran, khususnya prospek gencatan senjata yang berpanjangan, sekali gus memberi sokongan kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama lain.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat