Pemandu bas, kekasih dipenjara selepas mengaku pandu berbahaya

JASIN: Seorang pemandu bas bersama kekasihnya dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah memandu secara berbahaya minggu lalu.

Tertuduh, Arif Fahmi Abd Salam, 36, dan Nur Adila Najwa Ilham Ameerrullah, 21, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Mazanan Sinin.

Memetik Sinar Harian, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap Arif Fahmi, manakala Nur Adila Najwa dipenjara enam bulan. Kedua-duanya turut dikenakan denda RM5,000 setiap seorang.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa secara bersama memandu sebuah bas dengan cara berbahaya kepada orang awam.

Kesalahan itu dilakukan pada Ahad lalu kira-kira jam 7.30 malam di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dalam daerah Jasin, Melaka.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.

Dalam prosiding sama, Nur Adila Najwa turut berdepan pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina seorang wanita berusia 44 tahun sehingga mengganggu ketenteraman mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada hari sama kira-kira jam 6 petang di dalam bas berkenaan ketika berada di susur keluar R&R Bemban arah selatan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat