PETALING JAYA: Kabinet bersetuju melaksanakan pemotongan gaji dalam kalangan Jemaah Menteri sekiranya keadaan ekonomi negara semakin meruncing susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, barisan Kabinet bersedia mematuhi sebarang arahan yang diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara tersebut.
Menurut beliau, langkah pemotongan gaji bukan perkara baharu, sebaliknya telah dilaksanakan sejak hari pertama penubuhan Kerajaan MADANI.
“Saya sedia terima apa-apa arahan. Malah sejak hari pertama, gaji Jemaah Menteri telah pun dipotong ketika itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan Awam Universiti Malaya di Pantai Dalam, di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan langkah pemotongan gaji dalam kalangan menteri sekiranya keadaan ekonomi negara bertambah buruk, khususnya susulan krisis tenaga global.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan jentera pentadbiran terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Baca juga:








