KANGAR: Dakwaan penyelewengan dana kira-kira RM230 juta yang dikaitkan dengan pengurusan zakat di Perlis tidak melibatkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), sebaliknya berpunca daripada urusan dalaman sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) berkata, MAIPs hanya menyalurkan dana tersebut mengikut prosedur ditetapkan berdasarkan cadangan pembayar zakat yang memilih NGO berkenaan sebagai penerima di bawah kategori asnaf fisabilillah.
โApabila dana diserahkan kepada pihak yang layak, ia telah menjadi tanggungjawab mereka.
โIbarat kita beri zakat kepada orang miskin, tetapi dia gunakan untuk perkara lain, itu bukan lagi tanggungjawab pemberi,โ katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook pada Rabu.
Beliau menjelaskan, MAIPs turut menjalankan audit tahunan terhadap NGO tersebut dan mendapati rekod pengurusan mereka sebelum ini berada dalam keadaan baik selama bertahun-tahun.
โNGO itu sebelum ini mempunyai rekod yang bersih dan telah diaudit setiap tahun tanpa sebarang isu besar,โ katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan urusan pengagihan zakat adalah di bawah bidang kuasa MAIPs sepenuhnya, manakala pejabat Mufti hanya berperanan dalam hal berkaitan fatwa.
โZakat bukan di bawah pejabat Mufti. Kami hanya keluarkan fatwa, manakala pengurusan dan agihan adalah di bawah MAIPs.โ Ujarnya.
Terdahulu, dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi NGO direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana berjumlah RM230 juta.
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor mendapati dana berkenaan dipercayai dipindahkan ke akaun syarikat untuk tujuan pelaburan dan kegunaan peribadi antara 2018 hingga 2024.
Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata bayaran upah kepada pihak yang menguruskan agihan bantuan adalah dibenarkan sekiranya melibatkan kerja pentadbiran dan pengurusan yang sah.
โJika ada pihak yang bersusah payah menguruskan agihan, mereka layak menerima upah atas kerja tersebut,โ katanya lagi.
Beliau turut menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan penyelewengan dana itu.








