Jemaah Haji diingat kekal terhidrat hadapi cuaca ekstrem di Tanah Suci

MAKKAH: Perbezaan ketara antara iklim lembap di Malaysia dan cuaca panas kering di Arab Saudi menjadi antara cabaran utama buat jemaah haji negara ini, apabila suhu di Tanah Suci dijangka melebihi 40 darjah Celsius pada musim haji kali ini.

Keadaan tersebut boleh memberi kejutan kepada tubuh, khususnya bagi jemaah yang pertama kali menjejakkan kaki ke Makkah.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir, menasihatkan jemaah agar memberi perhatian serius terhadap aspek kesihatan serta mengambil langkah pencegahan bagi memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan lancar.

Menurutnya, jemaah perlu memastikan tubuh kekal terhidrasi dengan minum air secukupnya, terutama ketika kemuncak ibadah di Arafah.

“Jemaah perlu mengelakkan dehidrasi dengan mengambil air secara mencukupi kerana tahap kesihatan amat mempengaruhi kelancaran ibadah,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Sabtu.

Beliau menjelaskan, cuaca panas melampau boleh menyebabkan kehilangan air dalam badan dengan cepat, sekali gus mengakibatkan keletihan dan kekurangan tenaga jika tidak ditangani dengan baik.

Sehubungan itu, jemaah disaran minum air secara berkala walaupun tidak berasa haus, membawa bekalan air ketika bergerak serta mendapatkan rehat mencukupi. Selain itu, pemakaian yang sesuai dan mengurangkan pendedahan lama di bawah terik matahari turut digalakkan.

Bagi jemaah warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik, pemantauan kesihatan berterusan amat penting bagi memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan selesa.

Pada musim haji 2024, suhu di Tanah Suci pernah mencecah 51.6 darjah Celsius, menjadikannya antara musim paling panas dalam sejarah moden.

Dalam pada itu, Tengku Mohd Dzaraif memaklumkan kerajaan sentiasa memantau rapat peraturan baharu yang diperkenalkan oleh Arab Saudi dalam pengurusan ibadah haji bagi memastikan kebajikan jemaah Malaysia terus terpelihara.

Katanya, setiap musim haji menyaksikan penambahbaikan termasuk penggunaan aplikasi khas sebagai kelulusan rasmi untuk memasuki Tanah Haram di Makkah serta akses ke Masjidil Haram.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat