Individu Didenda RM30,000 Kerana Hina Institusi Kehakiman Di Facebook

CYBERJAYA: Seorang lelaki berusia 41 tahun, Mohamad Azri Sahlam, dijatuhi hukuman denda sebanyak RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Keningau selepas mengaku bersalah memuat naik kandungan jelik melampau yang menghina institusi kehakiman menerusi platform media sosial Facebook pada 22 Disember 2025.

Menurut kenyataan rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), tindakan tertuduh jelas melanggar Seksyen 233(1)(a) dan Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memuat naik kandungan jelik melampau serta menghina institusi kehakiman menerusi platform media sosial Facebook,” kata MCMC.

Akta tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

MCMC berkata, penyebaran kandungan jelik dan menghina institusi negara adalah perbuatan serius yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Orang ramai diingatkan agar menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab bagi mengelakkan penyalahgunaan yang boleh mencetuskan keresahan awam,” tambah kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat