KUALA LUMPUR: Seramai 260 pegawai dan anggota Askar Wataniah (AW) kini secara rasmi diserap ke dalam Angkatan Tetap Tentera Darat Malaysia, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara.
Majlis penuh istiadat itu berlangsung di Padang Kawad Rejimen 515 AW, disempurnakan oleh Asisten Ketua Staf Pasukan Simpanan (AKS PS), Mej Jen Datuk Mohammad Razeif Che Ahmad.
Perbarisan diketuai oleh Kapt Mohamad Zulkarnain Mustafa, dengan 57 pegawai dan 203 anggota LLP mengangkat Tadbir Sumpah pegawai dipimpin oleh Lt Kol Norhisam Miskon, manakala anggota LLP dipimpin oleh Mej Bambang Adi Sumantri Bombang Sukocho.
Majlis turut menyaksikan pemakaian beret kor kepada anggota yang terlibat, simbol pengiktirafan rasmi serta permulaan tanggungjawab baharu dalam perkhidmatan tetap.
Dalam ucapannya, Mohammad Razeif berkata, kejayaan penyerapan itu adalah bukti disiplin, ketahanan dan komitmen tinggi anggota yang terpilih selepas melalui proses penilaian ketat.
“Penyerapan tersebut bukan sahaja sebagai satu bentuk pengiktirafan kepada anggota, malah turut memenuhi keperluan perjawatan tetap Tentera Darat,” katanya.
Beliau berkata, penempatan anggota dilaksanakan secara strategik mengikut kepakaran masing-masing bagi menyokong keperluan Angkatan Masa Hadapan iaitu Domain Daratan (AMH-D2).
Beliau turut menyeru agar semua anggota mengekalkan profesionalisme, integriti serta semangat juang yang tinggi dalam melaksanakan amanah.
Majlis diteruskan dengan sesi perjumpaan bersama Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Datuk Azhan Md Othman, yang menekankan bahawa peralihan ini membuktikan komitmen serta potensi anggota dalam perkhidmatan.
“Peralihan ini bukan sekadar pertukaran status tetapi merupakan satu langkah besar dalam perjalanan kerjaya yang menuntut ketahanan, pengorbanan serta iltizam berterusan,” ujar beliau.
Azhan berkata, anggota yang dipilih adalah mereka yang berpotensi untuk terus menyumbang melalui kepakaran, pengalaman serta nilai tambah yang dimiliki.








