LANGKAWI: Usaha memperkukuh keselamatan maritim di perairan sempadan Malaysia–Thailand terus diperkasa apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis bersama Jabatan Laut Malaysia (JLM) mengadakan sesi Rendezvous at Sea berhampiran Pulau Brasmana pada Selasa.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pertemuan itu menjadi wadah penting untuk menyelaras tindakan serta mempertingkat perkongsian maklumat risikan antara kedua-dua negara.
“Penyelarasan operasi antara agensi juga diberi penekanan bagi mengelakkan pertindihan tugas dan memastikan setiap tindakan di lapangan lebih cekap, pantas serta berkesan,” katanya.
Sesi berkenaan turut melibatkan pegawai kanan Maritim Malaysia dan JLM, manakala delegasi Thailand diwakili kepimpinan keselamatan wilayah, agensi maritim serta pengurusan sumber asli Wilayah Satun.
Romli berkata, fokus utama perbincangan adalah mempercepat mekanisme pertukaran maklumat perisikan khususnya berkaitan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan, pencerobohan nelayan asing dan kegiatan maritim tidak sah.
Beliau berkata, pendekatan kolaboratif antara agensi dalam negara dan rakan serantau adalah elemen kritikal bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara.
Pertemuan itu bukan sahaja memperkukuh koordinasi operasi, malah mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Thailand dalam mempererat hubungan dua hala, sejajar dengan cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks di kawasan sempadan.
Sesi Rendezvous at Sea diakhiri dengan pertukaran cenderamata dan sesi bergambar, simbol hubungan erat serta kesepaduan strategik antara kedua-dua negara.








