Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa pihak Zoo Taiping & Night Safari untuk mengambil tindakan segera membawa pulang tiga ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK), yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.
Menerusi kenyataan media pada Rabu, beliau berkata, kerajaan negeri ambil maklum perkembangan melibatkan haiwan berkenaan susulan pelbagai gesaan termasuk daripada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia.
“Berdasarkan gesaan YB Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta pelbagai pihak termasuk NGO dan rakyat Malaysia tentang keadaan mamalia itu di sana, saya berpandangan perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana gajah-gajah itu merupakan sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Dara, Amoi dan Kelat ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Temerloh sekiranya dibawa pulang ke Malaysia.
Katanya, pusat berkenaan mempunyai kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah, termasuk dari segi interaksi sosial, ruang pergerakan serta kesejahteraan psikologi haiwan.
“Kuala Gandah mempunyai kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah, khususnya dari segi interaksi sosial, ruang pergerakan dan kesejahteraan psikologi haiwan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, penghantaran tiga ekor haiwan ke Tennoji Zoo di Osaka merupakan kerjasama yang telah dibincangkan pada tahun 2022 setelah pihak zoo tersebut menyatakan minat untuk memiliki gajah dari Malaysia.
Katanya, perkara itu kemudian diselaraskan melalui Zoo Taiping dan Night Safari bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ) memandangkan hidupan liar berada di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan.
“Berdasarkan maklumat oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT), ketiga-tiga gajah tersebut telah selamat tiba di Osaka Dan sekitar April ini wakil daripada Zoo Taiping dan Night Safari akan mengadakan lawatan ke zoo di Osaka.
“Kerjasama ini bersifat dua hala apabila selepas penghantaran gajah berkenaan, pihak Zoo Taiping juga dijangka menerima haiwan daripada zoo di Osaka,” katanya.
Baca juga:








