Menteri gesa gajah Dara, Amoi dan Kelat dibawa pulang jika kebajikan terjejas

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, menggesa agar tiga gajah Asia milik negara iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dibawa pulang ke Malaysia sekiranya kebajikan haiwan berkenaan tidak terjamin.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas bagi mengulas memorandum yang dikemukakan berhubung kebajikan ketiga-tiga gajah tersebut.

Menurutnya, perjanjian penghantaran DAK ke Jepun merupakan urusan antara Zoo Taiping & Night Safari dan Tennoji Zoo Osaka yang dimeterai pada 2022, sebelum beliau menerajui kementerian berkenaan.

“Walaupun ia keputusan pentadbiran terdahulu dan bersifat perjanjian perniagaan antara dua pihak, saya tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan khazanah alam negara,” katanya.

Arthur berkata, beliau telah mengambil beberapa langkah termasuk mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Jepun pada 13 April lalu bagi membangkitkan isu tersebut.

Selain itu, pada 21 April, beliau turut memanggil Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping serta Pengarah Zoo Taiping & Night Safari untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

“Dalam pertemuan itu, saya meminta agar maklumat terperinci dikongsi dan penjelasan diberikan kepada umum, namun sehingga kini perkara tersebut masih belum dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak pengurusan Zoo Taiping & Night Safari agar segera memulakan rundingan dengan pihak Tennoji Zoo bagi menilai mekanisme membawa pulang ketiga-tiga gajah berkenaan.

Menurutnya, walaupun kuasa membatalkan perjanjian terletak pada pihak yang menandatangani kontrak, kerajaan tetap berpendirian tegas dalam memastikan kebajikan haiwan terbabit sentiasa terpelihara.

“Sekiranya matlamat perjanjian tidak dipenuhi dan kebajikan gajah kita tidak terjamin, maka gajah-gajah ini wajar dibawa pulang ke tanah air,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat