HORSENS: Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen, mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan Malaysia dalam Piala Thomas 2026 selepas tersingkir di peringkat suku akhir malam tadi.
Malaysia mengalami kekalahan mengecewakan 0-3 kepada juara bertahan China dalam aksi yang berlangsung di Forum Horsens.
Jonassen mengakui prestasi keseluruhan pasukan, khususnya dalam acara perseorangan lelaki, tidak mencapai tahap yang diharapkan sepanjang kejohanan.
“Sudah tentu saya kecewa kerana kami hadir dengan terlalu banyak kelemahan. Saya ambil tanggungjawab penuh, prestasi ini tidak berada pada tahap sepatutnya,” katanya selepas perlawanan.
Menurutnya, kegagalan membina keyakinan dalam kem perseorangan lelaki sepanjang minggu menjadi faktor utama yang menjejaskan prestasi pasukan.
Beliau menjelaskan, dalam kejohanan besar, pemain sepatutnya menunjukkan peningkatan dari satu perlawanan ke perlawanan lain, namun Malaysia gagal menampilkan konsistensi tersebut.
“Saya bukan hanya kecewa dengan perlawanan ini, tetapi keseluruhan kempen minggu ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berharap pemain profesional negara, Lee Zii Jia, dapat beraksi dalam perlawanan penentuan, namun hasrat itu tidak tercapai apabila Malaysia tewas awal kepada China.
Zii Jia muncul pemain paling konsisten apabila mencatat tiga kemenangan termasuk menewaskan Koki Watanabe pada aksi terakhir peringkat kumpulan.
Sebaliknya, pemain nombor satu negara Leong Jun Hao gagal menyumbang mata dalam ketiga-tiga perlawanan, termasuk kekalahan kepada pemain nombor satu dunia, Shi Yu Qi.
Perseorangan kedua, Justin Hoh, pula hanya meraih satu kemenangan daripada empat perlawanan, manakala pemain profesional Aidil Sholeh Ali Sadikin turut gagal memberikan impak.
Mengulas lanjut, Jonassen mengakui pendekatan semasa dalam acara perseorangan lelaki dilihat semakin ketinggalan berbanding perkembangan permainan moden.
“Kita perlu berubah dari segi teknikal dan mental, termasuk meningkatkan kesabaran serta kesedaran taktikal di gelanggang,” katanya sambil menggesa pemain mengambil tanggungjawab terhadap perkembangan masing-masing.
Malaysia sebelum ini mencatat kemenangan ke atas England dan Finland dalam Kumpulan B sebelum tewas kepada Jepun, sekali gus mara ke suku akhir selaku naib juara kumpulan.
Baca juga:








