Airtrunk pilih labur RM27 bilion di Malaysia

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Malaysia mencipta lagi sejarah apabila Syarikat platform pusat data hiperskala terkemuka, AirTrunk, memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik apabila meningkatkan komitmen pelaburannya kepada RM27 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab digital serantau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis berkata, tambahan pelaburan sebanyak RM12 bilion pada tahun ini mencerminkan keyakinan berterusan pelabur global terhadap keupayaan dan daya saing Malaysia dalam sektor ekonomi digital.

Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan dalam kunjungan hormat Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AirTrunk, Robin Khuda bersama delegasinya semalam.

“Komitmen ini amat dialu-alukan dan diyakini akan memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau yang progresif serta berkeupayaan tinggi,” katanya menerusi Facebook.

Di saat pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut membincangkan kemajuan pembinaan pusat data AirTrunk di Johor, selain memberi tumpuan kepada rangka kerja lokalisasi bagi meningkatkan penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian nilai industri pusat data.

Anwar menegaskan, keputusan AirTrunk untuk terus melabur di Malaysia mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar kerajaan yang konsisten serta usaha berterusan dalam memperkemas kecekapan pembangunan dan operasi infrastruktur digital negara.

Anda Mungkin Berminat