KOTA KINABALU: Pendakwah terkenal, Mufti Menk, dijadualkan menyampaikan ceramah agama khas di Sabah International Convention Centre (SICC) malam ini, sekali gus menjadi antara acara keagamaan utama yang dinanti-nantikan masyarakat.
Menurut Yang di-Pertua Negeri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, program ceramah tersebut memberi fokus kepada pengukuhan iman dalam kehidupan seharian.
“Sejak awal petang, orang ramai mula membanjiri kawasan Sabah International Convention Centre bagi mendapatkan tempat, menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan terhadap program ilmu berkenaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Mufti Menk yang terkenal dengan pendekatan dakwah santai tetapi menyentuh jiwa dijangka menyampaikan mesej perpaduan umat, selain menekankan kepentingan kasih sayang, kesederhanaan dan akhlak mulia dalam masyarakat.
Ceramah malam ini turut dilihat sebagai sebahagian usaha memperkasa program keilmuan dan kerohanian di Sabah, seiring dengan sambutan masyarakat berbilang kaum terhadap aktiviti keagamaan berskala besar.
Program dijangka bermula selepas solat Isyak.








