Hasil Negeri Meningkat, Johor Umum RM170 Juta Untuk Rakyat

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Negeri Johor terus membuktikan komitmen bahawa peningkatan hasil negeri akan dikembalikan kepada rakyat apabila mengumumkan pelaksanaan 22 inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat dengan nilai keseluruhan RM138 juta, memanfaatkan lebih 600,000 rakyat negeri Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ketika menjawab soalan berkaitan kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar berkata, hasil negeri yang meningkat akan terus disalurkan kepada rakyat.

Menurut beliau, antara penerima terbesar ialah warga emas berusia 60 tahun ke atas yang menerima bantuan ‘one-off’ RM200 melibatkan 307,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM61.4 juta.

“Turut menerima manfaat ialah suri rumah tidak bekerja seramai 136,000 penerima (RM27.2 juta) serta 45,000 pasangan pengantin kali pertama bagi tahun 2024 dan 2025 (RM18 juta),” katanya.

Selain itu beliau berkata, bantuan turut diberikan kepada penjaja dan peniaga kecil berdaftar sebanyak RM300 (30,000 penerima, RM9 juta), murid OKU RM150 (RM3.4 juta) serta anak yatim di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Johor RM200 (RM2.4 juta).

“Golongan lain yang menerima manfaat termasuk ketua isi rumah miskin berdaftar dengan eKasih (RM1 juta), pemandu bas dan van sekolah (RM1 juta), serta 4,000 penerima bantuan am JKM yang menerima RM300 (RM1.2 juta).

“Kerajaan Negeri turut menyalurkan bantuan kepada jawatankuasa masjid dan surau (30,000 penerima, RM6 juta), pegawai agama bertauliah tidak berelaun (RM1 juta) serta petugas keselamatan dan pembersihan hospital serta fasiliti Jabatan Agama Islam (RM400,000).

“Sokongan juga diberikan kepada pengusaha rumah inap berdaftar (RM120,000), sukarelawan penggali kubur Islam (RM600,000) serta 922 persatuan belia berdaftar yang masing-masing menerima RM5,000 dengan jumlah keseluruhan RM4.6 juta,” katanya.

Onn Hafiz berkata, dalam aspek pembangunan sukan, subsidi pentadbiran disalurkan kepada 39 persatuan sukan negeri (RM195,000), bantuan kepada jurulatih, atlet dan urusetia SUKMA 2026 (RM211,000) serta insentif RM30,000 kepada atlet yang melanjutkan pengajian ke IPTA/IPTS.

Tambah beliau, turut menerima bantuan ialah anggota RELA (RM165,000), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (RM38,000), anggota bomba bantuan (RM26,000) serta setiausaha JPKK Negeri Johor dan Kampung Baru Cina (RM158,000).

“Peningkatan hasil negeri akan terus disalurkan kembali kepada rakyat,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat