Anwar Jamin Lantikan Jururawat, Doktor Tidak Jejas

PETALING JAYA: Langkah penyusunan semula perbelanjaan kerajaan tidak akan menjejaskan pengambilan doktor dan jururawat baharu, sekali gus menepis kebimbangan bahawa sektor kesihatan bakal terkesan dengan cadangan pengurangan bajet, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, kekeliruan timbul apabila cadangan penyelarasan bajet disalah tafsir sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan akan dikurangkan.

“Pengambilan doktor baharu dan jururawat tidak terjejas, begitu juga pembinaan klinik.

“Cuma skop pembinaan hospital mewah akan dikurangkan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Putrajaya pada Isnin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penyelarasan bajet hanya melibatkan pengurangan perbelanjaan tidak perlu termasuk kursus dan majlis rasmi yang tidak memberi keutamaan kepada keperluan rakyat.

“Perbelanjaan kursus yang berlebihan akan dikurangkan dengan mengutamakan penganjuran dalam negara, manakala majlis di hotel mewah dihentikan dan dilaksanakan di kementerian,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa sektor pendidikan tidak terjejas khususnya dalam pembinaan kelas baharu bagi menampung pertambahan pelajar.

Terdahulu, laporan media menyebut Kementerian Kewangan mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi sebanyak RM5.4 bilion melibatkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Anwar berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk memastikan perbelanjaan lebih berhemat tanpa menjejaskan perkhidmatan asas kepada rakyat.

Anda Mungkin Berminat