Akta Hasutan kekal relevan isu 3R, bukan alat tekan pengkritik – Fahmi

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menegaskan Akta Hasutan masih diperlukan bagi menangani isu melibatkan kaum, agama dan institusi diraja (3R), namun tidak wajar digunakan terhadap pengkritik politik.

Jurucakap Kerajaan itu berkata, pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah jelas bahawa isu politik perlu dijawab melalui saluran politik, manakala tindakan undang-undang hanya sesuai bagi perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan perpaduan negara.

“Jika melibatkan raja-raja Melayu, agama atau kaum, ia boleh dianggap sebagai elemen hasutan yang menggugat keharmonian. Dalam keadaan itu, pihak berkuasa perlu bertindak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dalam sesi temu bual “Tanya – Jangan Sentap!” yang disiarkan di Facebook, yang turut menyentuh isu global termasuk kos sara hidup dan perkembangan politik semasa.

Menurut Fahmi, pendekatan kerajaan kini memberi penekanan kepada pemisahan antara isu politik dan tindakan penguatkuasaan, selain memastikan tiada campur tangan dalam siasatan oleh agensi seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa Perdana Menteri mempengaruhi proses perundangan atau keputusan mahkamah.

“Tidak benar bahawa Perdana Menteri membuat panggilan untuk mempengaruhi siasatan atau keputusan hakim. Perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Dalam masa sama, Fahmi menegaskan amalan lama seperti tindakan keras terhadap perhimpunan aman sudah tidak lagi menjadi pendekatan kerajaan ketika ini.

“Era itu sudah berlalu,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat