KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, memaklumkan projek pembinaan Klinik Kesihatan Menjalara akhirnya diluluskan selepas lapan tahun usaha memperjuangkannya.
Menurut beliau, klinik berkenaan akan dibina di kawasan berhampiran balai bomba di Menjalara dengan kos keseluruhan RM85.9 juta di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Selepas lapan tahun memperjuangkan keperluan ini di Segambut, akhirnya ia diluluskan,” katanya.
Projek Klinik Kesihatan (Jenis 2) itu akan dibangunkan di atas tapak seluas 2.04 ekar dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia, selaras dengan Pelan Induk Fasiliti Kesihatan Kementerian Kesihatan bagi tempoh 2024 hingga 2045.
Pembinaan dijangka siap pada Januari 2032 dan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 256,000 penduduk meliputi Parlimen Segambut, sebahagian Parlimen Batu serta kawasan Damansara, termasuk sekitar 110,000 penduduk di Menjalara.
Selain meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, projek itu turut dijangka mengurangkan kesesakan di fasiliti sedia ada seperti Klinik Kesihatan Jinjang, Klinik Kesihatan Batu Muda, Klinik Komuniti Metro Prima dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Taman Koperasi Polis.
Klinik baharu itu akan menyediakan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung, termasuk rawatan pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, pergigian, kecemasan, radiologi, makmal, farmasi, rehabilitasi serta rawatan khusus seperti metadon dan kawalan infeksi.
Menurut Hannah, pembinaan klinik berkenaan penting bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti, efisien dan saksama kepada penduduk setempat.
Beliau turut menegaskan kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kerja Raya akan terus diperkukuh bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual, kos dan kualiti yang ditetapkan demi kesejahteraan rakyat.
Baca juga:








