PETALING JAYA: Perbuatan seorang lelaki memuat naik hantaran jelik menghina Sultan Ibrahim pada September tahun lalu membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi, pada Selasa.
Mohd Hafiz Haron, 42, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Firdaus Md Isa. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara serta-merta, selain tambahan empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen bersifat jelik serta melampau dengan niat menyakitkan hati pihak lain menerusi aplikasi TikTok pada jam 7.30 pagi, 11 September 2025.
Hantaran tersebut kemudiannya dilihat oleh seorang pengadu di sebuah rumah di Taman Pelangi Semenyih 2 pada jam 10 malam hari sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 233(3) akta sama, iaitu denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang berasa tersinggung dan marah selepas menonton hantaran tersebut membuat laporan polis bersama tiga individu lain.
Siasatan mendapati tertuduh sedar bahawa kandungan dimuat naik menggunakan telefon bimbitnya bersifat melampau dan menghina institusi diraja.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atiqah Mohamad Alias memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan bekerja kampung serta menanggung anak-anak dan ibu uzur.
Pada 13 September 2025, media melaporkan seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan. Semakan turut mendapati tertuduh mempunyai rekod lampau membabitkan beberapa kes jenayah dan satu kes berkaitan narkotik.
Baca juga:








