Murid perempuan maut selepas dirempuh van depan sekolah di Batu Pahat

BATU PAHAT: Seorang murid perempuan Tahun 2 disahkan maut setelah dilanggar van di hadapan sekolah rendah di Parit Sulong, dekat sini pada tengah hari Selasa.

Memetik laporan Berita Harian, mangsa adalah Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketika kejadian kira-kira pada pukul 12.40 tengah hari, mangsa dilaporkan baru selesai sesi persekolahan di SK Seri Maimon sebelum bergerak keluar dari pintu pagar sekolah.

Semasa kejadian van yang terlibat itu juga keluar dari pagar sekolah selepas menghantar barang, namun dikatakan tidak menyedari keberadaan mangsa.

Kejadian disaksikan beberapa ibu bapa yang kebetulan menunggu anak masing-masing pulang dari sekolah.

Jenazah kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, kenyataan berhubung kejadian akan dikeluarkan dalam masa terdekat sebaik siasatan awal selesai.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat