KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador, tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau terbabit dalam kegiatan mencuri serta pengubahan wang haram berjumlah berbilion ringgit di luar negara.
Penafian itu dibuat susulan laporan beberapa portal media yang mengaitkan namanya dengan aktiviti berkenaan termasuk di Turkiye dan beberapa negara di benua Afrika.
“Saya dengan tegas dan tanpa sebarang keraguan menafikan semua tuduhan tersebut.
“Dakwaan ini tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah yang jelas bertujuan mencemarkan reputasi serta integriti saya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Farhash turut menolak dakwaan kononnya beliau telah memperoleh kewarganegaraan Turkiye, malah menegaskan tidak mempunyai sebarang akaun bank di negara tersebut.
“Saya hanyalah seorang ahli perniagaan dan tidak terbabit dalam politik ketika ini.
“Saya tidak mengetahui mengapa saya dikaitkan dalam perkara ini, melainkan terdapat pihak tertentu yang mempunyai kepentingan lain,” katanya.
Beliau juga memandang serius penyebaran rakaman video berkaitan isu itu yang didakwa disebarkan dengan niat jahat oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, Farhash mengesahkan telah membuat laporan polis dan menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut termasuk di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
“Saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan dijalankan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan telah mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penyebaran fitnah tersebut.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil dan telus.








