PM Ketuai Delegasi Malaysia Ke Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 yang berlangsung di Cebu, Filipina, mulai esok (Khamis) hingga 8 Mei ini.

Menurut kenyataan Wisma Putra, sidang kemuncak kali ini menjadi wadah penting bagi Malaysia menyuarakan pandangan mengenai pembinaan Komuniti ASEAN serta hala tuju masa depan blok serantau itu.

Perbincangan dijangka menekankan kesan krisis di Timur Tengah terhadap Asia Tenggara termasuk usaha menjamin keselamatan tenaga, keterjaminan bekalan makanan serta perlindungan rakyat ASEAN di kawasan terjejas.

“Penyertaan Perdana Menteri mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kepusatan ASEAN, selain memelihara perpaduan dan daya tahan rantau ini dalam persekitaran global yang semakin mencabar,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah bersama pegawai kanan kerajaan.

Selain sidang utama, Anwar dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Khas BIMP-EAGA yang berlangsung di sela-sela program berkenaan.

Sepanjang berada di Cebu, beliau juga dijangka mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan pemimpin negara ASEAN.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 akan didahului dengan beberapa mesyuarat peringkat menteri termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN, Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN, Majlis Penyelarasan ASEAN, serta mesyuarat bersama Menteri-Menteri Luar Negeri dan Ekonomi ASEAN.

Anda Mungkin Berminat