KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan Piala Dunia (FIFA) 2026 akan disiarkan secara rasmi di Malaysia menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati kejohanan bola sepak berprestij itu secara sah, inklusif dan dengan liputan yang meluas.
Menurutnya, siaran akan disediakan melalui pelbagai platform termasuk siaran percuma (free-to-air) menerusi MyTV, selain platform digital seperti RTM Klik dan Unifi TV.
“Kesemua 104 perlawanan akan disiarkan secara langsung di Unifi TV, manakala RTM akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau tertunda,” katanya pada sidang akhbar pada Rabu.
Tambah beliau, program khas seperti “Grandstand” akan diterbitkan dari Angkasapuri dengan penyampaian dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, selain penganjuran acara tontonan awam di lokasi terpilih.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan pematuhan terhadap undang-undang anti cetak rompak dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
Fahmi berkata, kerajaan berharap penganjuran Piala Dunia FIFA 2026 dapat menyatukan rakyat Malaysia melalui semangat kesukanan dan kebersamaan.
Baca juga:








