KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang dijadual berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun depan akan mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” bagi memperkukuh peranan pengamal media dalam pembangunan negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, majlis kemuncak sambutan tahunan itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth.
Beliau berkata, pemilihan tema “Media Integrity Strengthens Credibility” adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti penyampaian maklumat serta memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi media.
“Tema ini mencerminkan kepentingan integriti dalam kalangan pengamal media bagi memastikan maklumat yang disampaikan tepat, beretika dan dipercayai,” katanya pada sidang media mingguan pada Rabu.
Fahmi berkata, logo rasmi HAWANA 2026 pula menampilkan elemen ikonik Jambatan Pulau Pinang sebagai simbol negeri tuan rumah yang kaya dengan sejarah, warisan dan kemodenan.
“Secara keseluruhan, logo ini menggambarkan aspirasi HAWANA sebagai wadah penyatuan warga media dan masyarakat dalam menyokong pembangunan negara yang inklusif dan mampan,” katanya.
Baca juga:







