PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menegaskan perintah pembubaran sementara terhadap Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dilaksanakan sepenuhnya mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan.
Menurut JPPM, tindakan itu dibuat selepas penelitian terhadap ketidakpatuhan berterusan MTUC terhadap arahan bertulis yang dikeluarkan jabatan tersebut sebelum ini.
Katanya, pembubaran sementara berkenaan susulan kegagalan MTUC mematuhi arahan bertarikh 6 April lalu, khususnya berkaitan penyerahan penyata kewangan dan kunci kira-kira yang telah diaudit.
Ia termasuk maklumat mengenai kewangan atau harta yang diterima daripada sumber luar negara bagi tempoh 2020 hingga 2025.
“Setiap tindakan pengawalseliaan dilaksanakan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Jabatan ini tidak dipengaruhi oleh mana-mana kepentingan dan setiap keputusan dibuat berdasarkan penelitian dokumen, fakta serta pematuhan kepada prosedur ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, JPPM menjelaskan MTUC mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri Malaysia dalam tempoh 30 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan.
Menurutnya, sekiranya tiada rayuan dikemukakan atau rayuan ditolak, perintah pembubaran sementara itu akan berkuat kuasa secara muktamad selaras dengan peruntukan undang-undang.
MTUC merupakan badan induk terbesar di Malaysia yang mewakili kesatuan sekerja serta memperjuangkan kepentingan pekerja di negara ini.
Baca juga:








