Umat Islam digalak sertai program Quranic MADANI di Bukit Bintang malam ini

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh Fuziah Salleh mengajak orang ramai khususnya umat Islam menghadiri program Quranic MADANI yang berlangsung malam ini di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, program berkenaan menjadi ruang untuk masyarakat bersama-sama mengimarahkan malam dengan solat, tazkirah serta bacaan Surah Al-Mulk di tengah kesibukan kehidupan kota raya.

Katanya, pertemuan itu juga diharap dapat merapatkan ukhuwah, menenangkan jiwa serta menyuburkan nilai kasih sayang dan keharmonian dalam masyarakat.

“Dalam kesibukan hidup dan hiruk-pikuk kota, kita ambil sedikit waktu untuk berhimpun, merapatkan saf dan menenangkan hati bersama-sama,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Jumaat.

Program Quranic MADANI itu akan berlangsung pada Jumaat, 8 Mei 2026 bermula jam 8 malam hingga 11 malam di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Beliau turut mengajak Muslimin dan Muslimat hadir dengan membawa sejadah serta bersama-sama menghayati pengisian kerohanian yang disediakan.

“Semoga pertemuan ini menjadi ruang untuk kita saling menguatkan dan membina masyarakat yang lebih harmoni berpandukan nilai Islam yang damai dan menyatukan,” katanya lagi.

Program akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Agama Dr Zulkifli Hasan, Nurul Izzah, Ustaz Haris Ismail, Maulana Khairi dan Ustaz Farkhan Da’ie.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat