Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 4,000 liter petrol

KUDAT: Kira-kira 4,000 liter petrol yang dipercayai cuba diseludup ke Filipina berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kudat dalam satu operasi di perairan Kudat, semalam.

Pengarah Maritim Zon Kudat, Hasbullah Omar, berkata kejayaan itu hasil maklumat risikan serta rondaan penguatkuasaan menerusi Op Sejahtera, Op Cegah PATI, Op Tiris dan Op Naga.

“Bot tanpa nombor pendaftaran itu dikesan pada kedudukan 1.5 batu nautika timur laut Pulau Linggisan dalam keadaan mencurigakan sebelum dipintas oleh bot ronda Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kru bot terbabit bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan menemukan beberapa tong drum berisi petrol dengan anggaran kira-kira 4,000 liter yang dipercayai cuba diseludup ke Filipina,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan membawa barang kawalan tanpa permit atau dokumen sah.

“Maritim Malaysia akan terus memperketat kawalan dan rondaan keselamatan di perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta jenayah rentas sempadan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat