IPOH: Perjanjian melibatkan penghantaran tiga gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK), ke Jepun tidak membabitkan sebarang unsur komersial, termasuk urusan jual beli atau bayaran antara Zoo Taiping and Night Safari (ZTNS) dan Tennoji Zoo Osaka.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan, berkata perjanjian itu adalah kerjasama antara dua zoo dan bukannya urusan perniagaan seperti didakwa segelintir pihak.
“Penggunaan terma B2B (business to business) tidak bertepatan dengan semangat perjanjian yang telah dimeterai,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, penjelasan itu dibuat susulan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa program berkenaan melibatkan bayaran tertentu kepada ZTNS dan MPT serta tidak mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.
Menurutnya, kerjasama antarabangsa itu dilaksanakan selaras dengan Garis Panduan Standard Zoo Malaysia di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta melalui proses kelulusan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“MPT ingin menegaskan aspek kebajikan dan kesejahteraan haiwan sentiasa menjadi keutamaan dalam pelaksanaan program ini,” katanya.
Mohamed Akmal berkata, MPT juga bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya perlu menjalankan semakan atau siasatan lanjut terhadap program berkenaan.
Baca juga:








