MOSCOW: KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, hubungan Malaysia dan Persekutuan Rusia terus berkembang secara konsisten sejak terjalin pada tahun 1967 dan kini menjadi satu ikatan yang kukuh serta produktif.
Baginda bertitah, tahun depan bakal menandakan detik bersejarah dengan sambutan Ulang Tahun Ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
“Perjalanan panjang yang ditempuhi bersama serta pencapaian signifikan dalam hubungan Malaysia-Persekutuan Rusia wajar diraikan menerusi sambutan yang bermakna dan bersejarah,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim turut mengimbas kembali pertemuan bersama Presiden Rusia, TYT Vladimir V Putin, di St Petersburg pada Januari lalu yang berlangsung dalam suasana konstruktif dan membuahkan hasil positif.
Kedua-dua pemimpin berkongsi aspirasi sama untuk mempertingkatkan hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.
Pertemuan empat mata antara Seri Paduka Baginda dan Presiden Putin di Kremlin, Moscow sekali lagi menegaskan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama strategik.
Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ke Kremlin disambut mesra oleh Presiden Putin.
Sebagai tanda penghormatan, Sultan Ibrahim turut berkenan menjemput Presiden Putin mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia pada tahun 2027, bersempena sambutan Jubli Intan hubungan diplomatik Malaysia-Rusia.








