PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan sumbangan kepada seorang bapa tiga anak, Mohd Saifulizam Mohd Amin, yang kini berdepan cabaran besar selepas mengalami kemalangan sehingga menyebabkan tulang tangannya bengkok dan mengalami kecacatan kekal.
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, dalam siri jelajah Program Ziarah MADANI di Kampung Balok Pantai.
“Saya mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan dan kotak makanan sebagai tanda keprihatinan dan usaha membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga beliau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.
Mohd Saifulizam yang kehilangan keupayaan bekerja seperti biasa akibat kecederaan kekal kini bergantung kepada sokongan keluarga untuk meneruskan kehidupan bersama tiga anaknya.
Ahmad Farhan berkata, bantuan berupa sumbangan dan kotak makanan itu adalah tanda keprihatinan Perdana Menteri serta usaha Kerajaan MADANI untuk membantu rakyat yang diuji.
Beliau turut berharap Mohd Saifulizam diberikan kekuatan, dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan kesihatan yang lebih baik bersama keluarga.








