KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kementerian berkaitan mengadakan sesi libat urus bersama penjaja bagi mengenal pasti punca golongan itu masih sukar mendapatkan bantuan kewangan formal.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan tersebut dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan dapatan kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).
Menurut beliau, kajian berkenaan mendapati hanya lima peratus penjaja menerima bantuan daripada institusi kewangan seperti Bank Simpanan Nasional, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
“Perdana Menteri telah meminta kementerian berkaitan mengadakan sesi libat urus termasuk bersama penjaja sendiri untuk memahami isu yang dihadapi.
“Ini bagi memastikan bantuan kewangan formal dapat diperluaskan kepada mereka,” katanya pada sidang media mingguan pada Rabu.
Fahmi berkata, antara faktor utama yang dikenal pasti ialah status perniagaan penjaja yang tidak berdaftar, sekali gus menyukarkan mereka untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan formal.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa Jemaah Menteri mengambil maklum mengenai pelancaran Pusat Mediasi MADANI yang akan dirasmikan pada 18 Mei ini.
Katanya, pusat tersebut menyediakan perkhidmatan mediasi komersial secara percuma bagi pertikaian bernilai di bawah RM250,000.
“Ketika ini terdapat lebih 170 pengantara berkelayakan untuk mengendalikan kes-kes yang memerlukan mediasi,” katanya.








