REMBAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat beberapa pengumuman penting khusus untuk golongan belia sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan 2026 di Sendayan, esok.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, sambutan kali ini turut menyaksikan pelancaran Pelan Tindakan Pembangunan Belia yang melibatkan kerjasama menyeluruh semua kementerian.
“Kita menunggu esok apakah pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri untuk anak muda di seluruh negara.
“Selain itu, beberapa pelancaran turut akan diadakan termasuk Pelan Tindakan Pembangunan Belia yang melibatkan semua kementerian, bukan hanya Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Sukan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan Negara (IKTBN) Chembong di sini, hari ini.
Menurut beliau, pelan tindakan berkenaan sebelum ini telah dibentangkan dalam Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia dan Sukan sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dimuktamadkan.
Katanya, pendekatan pembangunan belia kini lebih komprehensif dan holistik kerana melibatkan pelbagai kementerian dalam usaha membentuk generasi muda yang lebih berkualiti dan berdaya saing.
“Untuk melahirkan generasi muda yang hebat, ia bukan hanya tanggungjawab KBS semata-mata tetapi memerlukan penglibatan semua kementerian,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohammed Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) menyasarkan kehadiran seramai 150,000 belia sepanjang tiga hari sambutan bermula esok.
Beliau turut memaklumkan sambutan Hari Belia Negara di peringkat negeri dan daerah yang berlangsung di seluruh negara setakat ini dianggarkan berjaya menarik kehadiran keseluruhan kira-kira 4.5 juta pengunjung.
Baca juga:








