Oleh: Datuk A Kadir Jasin
ULASAN | Memandangkan perpecahan politik Melayu sekarang, saya sepatutnya mengemukakan pandangan dan cadangan yang mendalam – “profound”.
Tetapi, memandangkan kacau-bilau politik Melayu ini sudah mencapai ke tahap lawak, saya terpaksa bergelak ketawa dulu. Ungkapan Inggeris kata, “laughter is the best medicine”. Ketawa adalah penawar yang paling mujarab.
Jadi, khusus untuk Bersatu, saya rasa elok pecat semua pemimpin, kecuali seorang dan tukar nama jadi Satu. Dengan itu, tidak ada lagi lah orang yang akan cabar, lawan atau kritik.
Maka pemimpin yang satu itu pun bolehlah bersenang diri menjadi Presiden atau apa-apa juga jawatan yang dia berahikan. Yang lain itu pun tak berguna kalau sekadar jadi pak turut dan kaki ampu.
Yang cabar, lawan atau kritik dah kena buang, kena gantung dan macam-macam tindakan lagi. Yang nampak cergas dalam Bersatu bukan Biro Politik, Biro Ekonomi atau Biro Pendidikan tetapi Jawatankuasa Disiplin.
Sama ada Bersatu ini sangat tidak berdisiplin, Jawatankuasa Disiplinnya terlalu keras atau ketuanya bertelinga nipis, tak boleh ditegur, dikritik apatah lagi ditentang.

Tapi bila hendak tebuk atap untuk jatuhkan Dr Mahathir Mohamad dan Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2020 boleh pula mereka lawan beliau. Mereka boleh lawan dan jatuhkan orang lain, tapi orang lain nak kritik dan nasihat mereka tak boleh.
Kalau ikut logik, Perikatan Nasional (PN) mempunyai harapan besar mengatasi Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16. Tetapi dengan perpecahan dan caca marba dalam Bersatu sekarang, PH mungkin terus berkuasa “by default”. Penyelamatan keadaan adalah ketampilan PAS mengambil alih kepimpinan PN. Yang terbaru, pelantikan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang Parlimen.
Dalam Pakatan Harapan ada dua parti komponen yang disokong oleh orang Melayu. Amanah parti Melayu-Islam dan PKR parti pelbagai bangsa yang ramai orang Melayu. PKR sentiasa berpecah-belah.
Sepanjang usianya, PKR memuntahkan pemimpin. Mereka disingkir atau keluar secara sukarela. Kecuali Anwar dan beberapa orang pemimpin asal, ramai yang lain telah keluar kerana tidak bersetuju dengan beliau. Sekarang giliran Mohd Rafizi Ramli dan feksyennya pula. Dulu Mohamed Azmin Ali.
Yang mengecewakan adalah pemikiran dan tindakan politik Melayu yang sepatutnya semakin progresif telah dijangkiti ciri-ciri feudalisme yang teruk. Ketua-ketua parti bertindak seolah-olah mereka adalah raja berkuasa mutlak.
Daripada tindak-tanduk Kerajaan Madani, amnya, dan Perdana Menteri khususnya, cukup jelas yang Pakatan Harapan (PH) tidak berharap lagi kepada undi Melayu.
Tumpuannya adalah mempertahankan sokongan bukan Melayu dan Bumiputera bukan Islam. Ia seolah-olah sudah menyerahkan undi Melayu kepada parti-parti Melayu.
Kalau parti-parti Melayu masih hendak bersilat pulut sehingga gagal meraih undi Melayu, janganlah salahkan Anwar, Madani atau DAP sekiranya Melayu bangsat di bumi sendiri.
Amanat dan amaran Almarhum Sheikh Abdullah Fahim diambang kemerdekaan Tanah Melayu telah diabaikan dan balanya sudah menimpa. Orang Melayu terpaksa menenggek dengan orang bukan Melayu untuk menjadi Perdana Menteri sedangkan 58 peratus warganegara adalah Melayu dan 63 peratus Islam.
Abdullah Fahim (nenda Almarhum Abdullah Ahmad Badawi) berkata: “Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan niat baik akan sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah akhirnya menjadi hina. Kalau orang Melayu (yang) beragama Islam khianati bangsa, negara dan agama, Allah akan ganti (dengan) bangsa lain yang beragama Islam menjaga tanah air kita.”
***Penulis adalah Tokoh Wartawan Negara dan sentiasa menulis mengenai isu semasa di media sosialnya








